Berita hari ni mengatakan bahawa Hakim yang ditangkap bersama pasangannya kerana disyaki bersekedudukan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dilepaskan dengan bon mahkamah RM3000 setiap seorang. Mahkamah Rendah Syriah menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes tersebut. Menurut berita itu lagi, pasangan tersebut dikatakan telah berkahwin di luar negara.
Moga-moga mereka (Hakim Syarie dan pasangannya) memang telah berkahwin di luar negara. Bukti seperti surat pernikahan mereka amatlah penting untuk membuktikan mereka telah berkahwin. Ianya akan dapat membersihkan nama mereka daripada fitnah bersekedudukan. Saya amatlah berharap mereka dapat membersihkan nama mereka serta institusi kehakiman syariah di Malaysia.
-----------------------------------------------------------------------------------
Bicara Hakim Syarie khalwat 31 Januari
PULAU PINANG 13 Dis. – Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan pasangannya yang sebelum ini ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) kerana disyaki bersekedudukan, dilepaskan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini dengan bon mahkamah RM3,000 setiap seorang.
Hakim Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya menetapkan jumlah tersebut selepas pihaknya dimaklumkan oleh peguam Ahmad Munawir Abd. Aziz yang mewakili pasangan terbabit bahawa anak guamnya sudah berkahwin di luar negara.
Pada prosiding di mahkamah hari ini, peguam itu turut mengemukakan surat pengesahan pernikahan pasangan terbabit.
‘‘Justeru itu, pihak pembelaan memohon siasatan semula dilakukan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil terhadap suspek sama ada mereka didakwa ataupun sebaliknya atas tuduhan berkenaan,’’ kata Ahmad Munawir.
Nik Bukhari menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes tersebut bagi membolehkan tindakan susulan dibuat oleh pihak pendakwaan terhadap suspek yang berusia 40-an dan 30-an.
Terdahulu, kedua-dua suspek hadir ke mahkamah pada pukul 10 pagi diiringi peguam mereka, Ahmad Munawir yang turut dibantu oleh Wan Faridulhadi Md. Yusof.
Kes tersebut kemudiannya didaftarkan oleh Bahagian Pendakwaan JAIPP.
Ketua Pendakwa Syarie, Mohd. Zulkhairi Aziz mendaftarkan kes itu mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu berkhalwat.
Bagaimanapun pertuduhan berkenaan tidak dibacakan terhadap pasangan itu setelah pihak pembelaan mengemukakan representasi kepada Ketua Pendakwaan Syarie Pulau Pinang supaya kes tersebut disemak semula.
Sumber: Utusan Online
No comments:
Post a Comment