Thursday, December 9, 2010

Hakim Syariah Bersekedudukan

Bila baca je tajuk kat atas dalam Harian Metro aku tersenyum dan dalam masa sama rasa kesal di hati. Yang kena tangkap tu bukan calang-calang orang, Hakim Syarie! Yang aku senyum tu sebab rasa lucu la pulak orang hebat dalam hukum hakam agama boleh buat maksiat. Jarang-jarang boleh dapat berita sorang hakim syarie yang tau hukuman Allah boleh kena tangkap khalwat.

Rasa kesal pun ada. Sebabnya, sorang manusia yang tahu undang-undang Islam dan azab Allah lebih daripada muda-mudi kat luar sana boleh terlibat dalam perkara macam ni. Perlu diingat, hakim ni bukan orang muda. Rasa kesal bertambah lagi bila mengenangkan orang yang dihormati oleh masyarakat dan diberi amanah menegakkan undang-undang jadi macam tu. Perbuatan dia seperti 'setitik nila rosak susu sebelanga', semua hakim syarie dan ustaz-ustaz seluruh negara akan rasa malu. Masyarakat mungkin akan hilang hormat kepada golongan ni.

Tok Hakim tu jugak tak menunjukkan rasa kesal dan salah atas perbuatan dia. Siap warning kat pegawai penyiasat supaya tutup kes sebab dia kata ada kawan-kawan yang berpengaruh. Hello Encik Hakim... dah lupa ke dengan janji Allah?

Benarlah... dunia dah akhir zaman. Sama-samalah kita beristifar memohon keampunan Allah.


------------------------------------------------------------------------------------
Hakim syariah bersekedudukan
Oleh Idris Musa

KUALA LUMPUR: Seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita di kuarters kerajaan di Georgetown, Ahad lalu.

Menurut sumber, hakim terbabit yang berusia 40-an ditangkap ketika bersama pasangannya kira-kira jam 2 pagi.

“Sewaktu kejadian, isteri dan anaknya tiada di rumah kerana dikatakan ke ibu kota.

“Pasangan itu ditangkap penguat kuasa agama hasil maklumat diperoleh,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Hakim terbabit dikatakan berkhidmat di Mahkamah Tinggi Syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung sejak lebih setahun lalu.


Sebelum ini, beliau bertugas di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Putrajaya.

Kes berkenaan bagaimanapun masih di peringkat siasatan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan hakim terbabit belum didakwa, sebaliknya dia dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam selama seminggu.

Sumber itu berkata, kes berkenaan agak sulit kerana mempunyai unsur ugutan daripada tertuduh terhadap pegawai penyiasat.

Namun, katanya, pihak penyiasat sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

“Pada masa ini hakim terbabit diberi jaminan penguat kuasa. Tempoh jaminan akan berakhir Isnin depan dan pada hari berkenaan, kes dijangka disebut di mahkamah syariah.

“Beliau sebelum ini dikatakan mengugut pegawai siasatan dan penguat kuasa dengan mengancam untuk mengambil tindakan jika mereka meneruskan kes berkenaan kerana beliau mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan pihak atasan,” katanya.

-Harian Metro-
(09 Dis 2010)

No comments:

Post a Comment