Dulu... waktu kanak-kanak, aku kerap dapat tengok bermacam-macam jenis burung di sekitar tempat tinggal aku. Bermacam-macam spesies burung ada, antaranya Raja Udang, Serindit, Bayan, Merbah, Gembala Kerbau, Murai, Enggang (ada sesetengah orang panggil Kelengking), Sewah, Helang, Burung Hantu, Tiong Batu, Tiong Emas, Punai Siul, Punai Tanah, Puyuh Liar dan pelbagai jenis burung yang cantik yang aku tak tau namanya masa tu. Pernah sekali tu aku dapat lihat sekumpulan Keluang terbang secara berkumpulan bergerak ke satu arah sayup-sayup di angkasa.
Bapak aku pulak masa tu adalah seorang peminat burung Tekukur dan Ketitir (Merbuk). Penuh sangkar bersaiz reban ayam dengan burung Tekukur dan Merbuk dek kerana minatnya. Beliau menggunakan pukat burung untuk menangkap burung-burung tersebut. Kerana pukat burungnya itulah aku dapat lihat dan menyentuh pelbagai jenis burung lain.. Dari situlah jugak aku mengenal nama-nama burung.
Tapi sekarang, aku dah jarang-jarang dapat lihat burung-burung ni. Nak dengar kicauan mereka pun susah inikan pulak nak lihat mereka. Dulu kerap jugak aku dengar siulan burung Raja Udang, Merbah, Murai dan Tiong tapi sekarang bunyi burung Walit dan Gembala Kerbau je yang kedengaran. Ke manakah mereka pergi? Aku rindukan bunyi-bunyi burung ni. Kicauan mereka cukup menenangkan jiwa.
Bila memikirkan tentang ini, aku mula rasa kasihan kepada generasi muda terutama anak-anak aku. Mereka tak dapat merasai pengalaman seperti mana yang aku alami. Suara alam sudah tak kedengaran lagi.
No comments:
Post a Comment